Make your own free website on Tripod.com

Latar Belakang Sejarah Temerloh Sebelum Merdeka

Temerloh merupakan salah sebuah daerah yang terbesar di Negeri Pahang. Keluasannya ialah 3601.5 km persegi. Daerah ini terdiri daripada beberapa buah mukim yang ditadbir oleh penghulu-penghulu dan setiap mukim ini dibahagikan pula kepada bebarapa buah kampung yang dijaga oleh ketua-ketua kampung.

Daerah Temerloh yang berkembang pesat pada hari ini mempunyai latarbelakang sejarah yang menarik. Menurut cerita seorang tokoh yang terkenal di Pahang iaitu Haji Zakaria Hitam, Bandar Temerloh yang ada sekarang berkembang dari penempatan sebuah kuala sungai di Sungai Pahang yang bernama Kuala Semantan. Beliau juga mengatakan bahawa nama lama bagi Temerloh ialah Kuala Semantan. Justeru itu adalah perlu untuk diketahui sejarah asal usul Kuala Semantan kerana dari sinilah lahirnya Bandar Temerloh.

Kuala Semantan pada asalnya merupakan sebuah kampung tua. Letaknya ialah di tanjung sebelah kanan kuala Sungai Semantan yang bertentangan dengan Kampung Bangau Parit. Mengikut ceritanya, nama 'Semantan'  itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Perkataan 'Semantan' itu terbit dari perkataan 'Seman Tahan' . 'Seman Tahan' merupakan seorang Brunei yang menetap di tanjung sebelah kanan kuala, salah sebuah anak Sungai Pahang . Osman yang dikenali sebagai Seman ini merupakan seorang yang pandai bersilat dan banyak ilmunya. Disebabkan oleh kepandaiaannya,maka ramai orang yang tinggal di sekitar tempatnya datang berguru dengan Seman.

Disamping pandai bersilat, Seman juga mempunyai ilmu kebal . Kelebihan yang dimilikinya ini menyebabkan beliau digelar sebagai 'Seman Tahan' oleh penduduk di sekitar kawasan itu. Nama 'Seman Tahan' semakin hari semakin masyur di kalangan penduduk di sepanjang sungai yang tidak bernama ketika itu.Oleh kerana kemasyurannya ini, maka nama 'Seman Tahan' diabadikan kepada sungai yang terdapat disitu . Dari situlah nama sungai itu menjadi sungai Seman Tahan .Sungai Seman Tahan itu lama kelamaan menjadi sungai Semantan (mungkin untuk penyebutan yang mudah dan ringkas) dan kuala yang terdapat di Sungai Semantan masih kekal hingga ke hari ini . Oleh kerana ramai yang berpindah ke Kuala Semantan untuk berguru dengan Seman Tahan menyebabkan ia berkembang menjadi sebuah pekan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan yang terkenal semasa sebelum kedatangan British.

Bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku di Kuala Semantan , maka banyak kawasan-kawasan baru telah dibina untuk dijadikan kawasan penempatan .Nama Kuala Semantan dirasakan tidak bersesuaian dengan perkembangan kawasan baru ini kerana perkataan 'kuala' itu hanya meliputi kawasan sekitar pertemuan antara pintu Sungai Semantan dengan Sungai Pahang .Oleh kerana itu nama Temerloh telah diambil bagi menamakan kawasan yang baru berkembang itu.

Temerloh, seperti juga kawasan-kawasan lain di negeri Pahang , mendapat namanya melalui satu peristiwa yang berlaku di Kuala Semantan .Menurut Haji Zakaria Hitam (beliau mendapat cerita ini daripada orang-orang tempatan) nama Temerloh itu berpunca daripada perkataan 'mereloh' .
Ini berdasarkan pada satu peristiwa yang berlaku di sebuah anak sungai di kiri hilir Sungai Pahang bertentangan dengan Pulau Temerloh. Pada suatu hari ada seorang Minangkabau mendarat di kuala anak sungai itu .Semasa beliau berada di kampung tersebut , beliau melihat seorang sakai yang asyik mereloh (tidur) sepanjang hari tanpa mempedulikan hal-hal lain . Dari peristiwa itulah terbitnya perkataan temerloh yang kemudiannya diambil untuk menamakan kawasan yang baru dibuka itu . Pendapat yang mengatakan nama Temerloh itu datangnya dari perkataan mengeloh juga dipersetujui oleh beberapa tokoh tempatan lainnya seperti Ishak Haji Muhammad dan Haji Omar walaupun peristiwa-peristiwa yang mereka ketahui agak berlainan sedikit .


Bandar Temerloh (Kuala Semantan) Sebelum Tahun 1926

Penerimaan terhadap pendapat yang mengatakan Bandar Semantan itu sama dengan Bandar Temerloh juga turut diakui oleh Abdul Latiff di dalam bukunya yang bertajuk 'Ishak Haji Muhammad' di mana beliau ada menceritakan Bandar Semantan atau Bandar Temerloh sebagai tempat lahir Ishak Haji Muhammad .

 

Temerloh Sebelum Kedatangan British


Sebelum kedatangan British, Temerloh merupakan sebuah kawasan yang aman dan damai . Pentadbirannya dikendalikan oleh Sistem Orang Besar . Dua Orang Besar Berempat yang mempunyai kawasan pegangan di Temerloh ialah Orang Kaya Indera Segara Temerloh dan Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor. Orang Kaya Indera Segara Temerloh memerintah kawasan dari Sungai Triang sehingga ke sempadan Rembau dan Selangor .Sementara itu , Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor memerintah kawasan antara Bera dengan Kuala Luit .

Orang Besar Berempat ini dibantu pula oleh Orang Besar Berlapan yang dilantik oleh Bendahara denga persetujuan Orang Besar Berempat . Empat Orang Besar Berlapan yang terdapat di Temerloh ialah :

            1. Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan .
         2. Dato' Setia Lela Kerdau .
         
3. Orang Kaya Setia Penggawa .
        
4. Orang Kaya Dewa Pahlawan Bangau .

Selepas Orang Besar Berlapan , terdapat pula Orang Besar Berenam Belas yang dilantik oleh Orang Besar Berempat di dalam daerahnya dan mereka mendapat gelaran To' Muda .

Orang Besar terutamanya Orang Besar Berempat di Pahang mempunyai peranan yang besar. Mereka diberikan hak untuk mengutip cukai dalam kawasan pegangan mereka .Kawasan pegangan pembesar ini merupakan kurniaan Sultan kepada mereka . Disamping itu , ia juga boleh menjatuhkan hukuman keatas kes-kes jenayah dan awam kecuali yang berkaitan dengan pentadbiran pusat .Orang Besar ini juga dikehendaki pergi ke Pekan setahun sekali untuk menyerahkan hasil kutipan yang dipanggil 'banchi' kepada Bendahara yang bertindak sebagai wakil Sultan .

Pertanian merupakan satu kegiatan utama dijalankan di Temerloh . Walau bagaimanapun, pertanian yang diusahakan itu lebih merupakan pertanian sara diri .Pertanian ketika itu hanya merupakan satu cara hidup dan bukan satu kegiatan untuk mencari keuntungan .Ianya amat sederhana baik dari segi kualiti mahupun kuantiti .

Daerah Temerloh merupakan sebuah kawasan pertanian yang agak luas. Padi merupakan tanaman utama di daerah ini . Ia biasanya ditanam di paya-paya yang terdapat di kawasan kampung.
Teknik yang digunakan ialah membajak dengan menggunakan kerbau ataupun pembajak (sejenis alat) . Di samping itu , wujud juga sistem gotong-royong yang dikenali sebagai sistem ' berderau' .
Bagi menampung keperluan-keperluan lain, masyarakat tani di Temerloh mengusahakan tanah-tanah mereka dengan tanaman-tanaman seperti jagung , keladi dan ubi kayu . hasil-hasil hutan juga dicari untuk ditukarkan dengan bahan-bahan lain seperti kain dan bahan api . Dalam usaha mendapatkan kawasan tanah untuk pertanian , penduduk-penduduk adalah bebas untuk membuka tanah-tanah baru tetapi dengan syarat pengusaha tanah tersebut haruslah memberikan sebahagian daripada hasil tanahnya kepada pembesar kawasan tersebut .

Selain dari bertanam padi , penduduk-penduduk Temerloh juga menjalankan kegiatan-kegiatan lain seperti menangkap ikan dan burung , menternak ayam dan kerbau serta bertukang . Gambaran umum tentang pekerjaan yang dilakukan oleh penduduk kampung di Temerloh juga dapat dilihat melalui kerja-kerja yang dilakukan oleh Haji Muhammad (ayah ishak) seperti dilaporkan oleh Abdul Latiff di dalam bukunya iaitu :

" Pekerjaan Haji Muhammad ialah sebagai petani seperti menanam padi , getah , kadang-kadang menangkap ikan , menangkap burung .Kerja sambilannya ialah bertukang emas seperti membuat anting-anting , cincin dan bertukang kayu ....Muhammad juga berniaga kerbau."

Dari sudut sosialnya , penduduk-penduduk di Temerloh mengamalkan cara hidup yang mudah Rumah-rumah mereka didirikan daripada kayu-kayu yang didapati dari hutan . Mereka tidak memiliki barang-barang mewah .Apa yang lebih dipentingkan ialah mereka mendapat makanan yang cukup dan dapat berlindung di rumah yang sederhana . Malah pakaian mereka juga amatlah kurang . Pakaian seseorang itu hanya akan ditukar setelah ianya benar-benar tidak boleh digunakan lagi .Bila malam , anak-anak kecil akan tidur beramai-ramai dengan berkongsi sehelai selimut yang dibuat daripada kain seakan-akan guni tepung  . Keadaan ini berbeza dengan golongan yang berada . Walau bagaimanapun bilangannya amatlah sedikit .

Sungai merupakan sumber air yang penting di Temerloh . Ia digunakan untuk keperluan-keperluan harian seperti memasak dan membasuh .Sungai juga merupakan alat perhubungan yang utama bagi penduduk di sini dan jenis pengangkutan yang lazim digunakan ialah perahu dan rakit .Dan sungai utama yang terdapat di daerah ini ialah Sungai Semantan dan Sungai Pahang .

Dari segi pendidikan pula , tidak dapat dipastikan samada telah terbentuk satu pendidikan yang formal atau tidak tetapi yang jelas , pendidikan agama memang diberikan kepada anak-anak penduduk di daerah ini .Anak-anak ini diajar sendiri oleh ibubapa mereka atau mereka dihantar ke tempat lain seperti surau untuk belajar dengan tok guru  . Guru-guru yang mengajar ini tidak mendapat apa-apa bayaran melainkan sedekah-sedekah yang diberi oleh para ibubapa secara ikhlas .

Dari sudut penempatan, didapati pola kediaman dan penyebaran penduduk bagi Daerah Temerloh ditentukan oleh aliran sungai . Antara kawasan-kawasan yang padat penduduknya di Temerloh ialah di Kuala Sungai Semantan , di Triang , di Chenor dan di Sungai Tembeling .

Dari sudut komposisi penduduk , kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu dan orang Asli . Walau bagaimanapun terdapat bangsa-bangsa lain seperti Cina dan Arab tetapi bilangannya amatlah sedikit .

Temerloh Semasa Pemerintahan British


British mula campur tangan secara rasmi dalam hal-hal pentadbiran di Pahang pada 1888 iaitu apabila John Pickeragill Rodger dilantik sebagai Residen British yang pertama di Pahang . Walau bagaimanapun , pentadbiran British yang sepenuhnya hanya bermula pada 1 Julai 1889 .
Dengan campur tangan ini , secara tidak langsung Temerloh menerima pengaruh British . J.P Rodger telah melantik beberapa orang pegawai British untuk membantunya mentadbir jajahan-jajahan . Pegawai-pegawai ini juga telah bertindak sebagai Pemungut Hasil (collector) dan Hakim (magistrate).
Bagi jajahan Temerloh , E.A.Wise telah dilantik sebagai Pentadbir British yang pertama .

Tugas pegawai Inggeris yang dilantik adalah sebagai wakil kerajaan di peringkat jajahan dan ia bertanggungjawab terhadap pembangunan sesebuah jajahan . Oleh kerana itu , ia mestilah mengetahui selok belok kawasan pentadbirannya . Dalam hal ini , Sadka menyatakan bahawa seseorang pegawai itu haruslah mempunyai maklumat lengkap tentang keadaan dan keperluan kawasan yang dijaganya.

Dalam pentadbiran yang baru ini , banyak perubahan telah dilakukan untuk memudahkan lagi pentadbiran , antaranya ialah pengenalan sistem pentadbiran berasaskan penghulu . Menurut Haji Yahya , sistem penghulu ini mula diperkenalkan pada sekitar tahun 1887 . Penghulu-penghulu yang dilantik diletakkan di setiap mukim sebagai ketua . Walau bagaimanapun , penghulu-penghulu ini tidak mempunyai kuasa yang luas kerana ia tertakluk di bawah kekuasaan Pegawai Daerah Inggeris .

Selain daripada itu, peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan telah mencabar kewibawaan kepimpinan tradisional di Pahang . Perubahan ini telah mnegubah kedudukan dan peranan Raja serta pembesar-pembesar negeri . Pentadbiran harian telah diambil alih oleh Residen British dan pegawai-pegawainya. Kalau dulu pembesar begitu berkuasa di dalam kawasan jagaannya tetapi setelah British mentadbir mereka tidak lagi dibenarkan bertindak sesuka hati seperti memungut cukai tanpa kebenaran pihak British . Kerana inilah juga berlakunya Perang Semantan .

Perang Semantan ini dipimpin oleh seseorang pembesar bernama Dato' Bahaman . Punca utama pemberontakan ini ialah rasa tidak puas hati orang-orang Besar Pahang , terutamanya sekali Dato' Bahaman (Orang Kaya Semantan) terhadap campur tangan British ke atas kawasannya .

Sebenarnya ketegangan di antara Dato' Bahaman dengan pihak British telah bermula sejak tahun 1890 lagi tetapi ketegangan itu memuncak pada tahun 1891 . Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 bilamana Dato' Bahaman dikatakan telah marah dan mengata-ngata E.A Wise (Pegawai Jajahan Temerloh) kerana E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua iaitu satu tempat yang termasuk dalam kawasan Dato' Bahaman , tanpa terlebih dahulu berunding dengnnya .

Apabila Hugh Clifford ( Pemangku Residen British Pahang ketika itu ) mengetahui hal tersebut , beliau telah menasihatkan Sultan dan baginda kemudiannya memanggil Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat . Oleh kerana Dato' Bahaman enggan ke Pekan , Sultan telah mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan .

Tindakan melucutkan pangkat dan taraf itu menyakitkan hati Dato' Bahaman . Keadaan ini menyebabkan Dato' Bahaman dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough dan pengikut-pengikutnya pada 15 Disember 1891 ketika mereka sedang mudik Sungai Semantan. Serangan itu dilakukan oleh Dato' Bahaman kerana ia menyangka Desborough datang untuk menangkapnya . Dalam serangan yang mengejut itu , pihak Desborough telah kalah dan beliau melarikan diri ke Bandar Temerloh .

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu , pegawai-pegawai British di seluruuh Pahang mula sibuk mengatur tentera mereka untuk melawan orang-orang Melayu yang menentang British .Ekoran dari itu , pada 21 Disember 1891 , satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud telah pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi mengalami kekalahan .

   ketika usia muda
Dato' Bahaman Orang Kaya Semantan

Setelah keadaan di Temerloh aman , barulah British menjalankan semula pentadbiran hariannya . British telah mengadakan perubahan sedikit demi sedikit kerana ia menganggap pentadbiran dan pemerintahan tradisional tidak teratur . Pembesar daerah dianggap tidak faham dengan sistem pentadbiran dan pembolotan hasil-hasil daerah dianggap tidak menguntungkan kerajaan . Tujuan British mengambil alih pemerintahan itu bukan untuk kebajikan rakyat tetapi lebih kepada untuk mengeksploitasi ekonomi masyarakat tempatan .

Dalam usaha menjaga jajahan ini , pegawai-pegawai British telah diarah untuk mendapatkan kerjasama penghulu dan ketua kampung . Disamping itu , pegawai-pegawai British ini juga mempunyai satu badan pentadbiran yang tersendiri di jajahan masing-masing . Badan ini terdiri daripada pegawai british (bertindak sebagai penolong pengutip hasil) , Ketua Kerani dan pembantu-pembantu lain yang terdiri daripada tiga bangsa utama , Melayu , Cina dan India  .

Oleh kerana pegawai British ini terpaksa berbaik-baik dengan Penghulu untuk menjalankan pentadbirannya di peringkat jajahan , peranan Penghulu ketika itu menjadi penting kerana kemajuan dan pembangunan sesebuah mukim bergantung kepada kebolehan penghulu masing-masing . Disamping itu , Penghulu juga mesti mempastikan dasar pemerintahannya dan arahannya diikuti tanpa bantuan , serta melaporkan pandangan anak buahnya kepada kerajaan .

Penghulu yang mentadbir mukim dibantu pula oleh Ketua Kampung-Ketua Kampung yang terdapat di dalam mukimnya . Di Jajahan Temerloh , terdapat 15 buah mukim yang terdiri daripada Jenderak, Lipat Kajang, Kerdau, Sanggang, Bangau, Perak, Semantan, Mentakab, Songsang, Lebak, Triang, Bera, Kertau, Chenor dan Bukit Segumpal . Di dalam mukim-mukim ini pula terdapat lebih kurang 68 buah kampung .

Setelah wujudnya pentadbiran British di Temerloh , di dapati telah terbentuk satu sistem birokrasi yang baru . Di dalam struktur yang baru ini , Pegawai Jajahan menduduki puncak hiraki dalam masyarakat . Ia diikuti pula oleh Penghulu dan seterusnya Ketua Kampung . Manakala masyarakat petani pula berada di tahap yang paling bawah dalam sistem birokrasi ini .

Selain daripada pentadbiran kerajaan di Temerloh , terdapat juga beberapa buah parti politik yang begerak di sini seperti PAS, UMNO dan Parti Sosialis tetapi pergerakan parti-parti ini hanya lebih jelas pada tahun 1950an iaitu pada tahun-tahun akhir sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan walau pun kegiatannya amat terhad  . Sebelum itu, sekitar tahun 1941 , terdapat satu gerakan politik kiri yang bergiat di Temerloh . Malah Temerloh ketika itu menjadi kawasan pergerakan politik yang agak penting.. Temerloh telah dijadikan markas pergerakan Parti Kesatuan Melayu Muda Pahang  . Yang lebih menarik lagi ialah ketua pergerakan Parti ini ialah Ibrahim Haji Yaakob yang sekaligus ketua PKMM dan beliau dibantu oleh Ishahar , merupakan anak jati Temerloh .

Kawasan Temerloh merupakan kawasan yang banyak melahirkan pejuang-pejuang yang terkenal seperti Dato' Bahaman , Mat Kilau , Ibrahim Haji Yaakob dan Ishak Haji Muhammad . Pejuang-pejuang ini merupakan lambang keagungan Temerloh . Mereka telah menjadikan Temerloh sebagai sebuah kawasan yang terkenal di zaman British walaupun ia tidak mempunyai hasil-hasil bumi seperti Raub yang kaya dengan hasil emasnya .

Sumber ekonomi yang utama di Temerloh pada masa British ialah pertanian . Dua jenis tanaman utama yang ditanam ialah getah dan padi . Tanaman getah ini semakin giat ditanam selepas tahun1909 . Menurut Cant :

....tidak ada perkembangan dalam penanaman getah sehingga tahun 1909 . Tidak ada bukti yang menunjukkan samada orang-orang Melayu atau bukan Melayu yang menanamnya . Di Temerloh , kawasan yang ditanam dengan getah hanyalah di Lubuk Terua yang berdekatan dengan kawasan perlombongan Bentong .

Selepas tahun 1909 iaitu di sekitar tahun-tahun 1920an , kawasan-kawasan di Jajahan Temerloh sudah mula giat ditanam dengan getah . Perkembangan penanaman getah ini telah membawa kepada penubuhan satu lembaga khas untuk mengawal kawasan-kawasan penanaman getah . Lembaga yang diseliakan oleh Enakmen Penyeliaan Getah ini ditubuhkan pada tahun 1924 . Ahli-ahli yang dilantik untuk menganggotai lembaga ini ialah Pegawai Jajahan sebagai pengerusi , Penolong Pegawai Jajahan , Mr.Anderson , Penghulu Mukim Perak , Mr.S Poniah dan Towkay Lou Tiew Tin .

Getah-getah yang ditanam di Temerloh terbahagi kepada dua iaitu getah yang ditanam secara ladang (estet) dan getah yang ditanam secara kecil-kecilan oleh pekebun-pekebun Melayu . Permintaan untuk membuka ladang-ladang getah secara besar-besaran di Temerloh oleh syarikat-syarikat begitu banyak sekali . Antara yang terbesar ialah Charmong Development Limited yang memohon kawasan seluas 217 ekar di Mukim Semantan untuk ditanam dengan getah . Walau bagaimanapun , oleh kerana sebab-sebab tertentu, syarikat ini gagal untuk mendapatkan  kawasan tersebut .

Tanaman yang kedua penting di Temeroh ialah padi . Penanaman padi diusahakan oleh orang-orang Melayu di kawasan perkampungan masing-masing . Semasa pentadbiran British sehinggalah tahun 1957 , penanaman padi diusahakan mengikut cara tradisional . Padi-padi yang ditanam di sini adalah dari berbagai jenis . Antaranya ialah Padi Tenggala, Padi Ladang, Padi Kubang, Padi chedong, Padi Tabur dan Padi Tunggal. Kebanyakkan padi ini ditanam di paya atau sawah yang mempunyai bekalan air yang cukup .

Pengeluaran padi Temerloh dari semasa ke semasa semakin meningkat dan hasil yang terbanyak didapati adalah di antara dalam tahun-tahun 1923-1924 . Ini merupakan hasil yang terbesar di antara semua jajahan di Pahang . Pada masa itu , mukim-mukim yang menghasilkan lebih daripada 100 ribu gantang padi ialah :

                            Mukim                                     Hasil Keluaran

                            1.Perak                                      262,550 ribu gantang
                     2.Jenderak                                 246,000    "      "
                     3.Sanggang                                195,160    "      "
                   
  4.Semantan                                164,720    "      "
                            5.Chenor                                     140,483    "      "
                     6.Triang                                      115,170    "      " 

Luas kawasan yang ditanam ketika ialah 10,500 ekar .

Pengeluaran padi yang tinggi ini tidak berterusan . Pada tahun 1926, pengeluaran padi di Temerloh merosot . Ini disebabkan banjir besar pada tahun 1926 yang melanda semua kawasan termasuk Temerloh telah mengakibatkan kawasan-kawasan padi musnah .

Bagi mengatasi keadaan kekurangan padi , sebuah Jabatan Parit dan Taliair ditubuhkan pada tahun 1930. Jabatan ini ditubuhkan supaya dapat mengawal jumlah air yang secukupnya bagi sesebuah kawasan paya . Ekoran daripada penubuhan tersebut , Jabatan Parit dan Taliair Pahang  mendapat peruntukan sebanyak 100 hingga 150 ribu ringgit untuk mengendalikan 5 buah skim pengairan pada tahun 1932 . Hasilnya memang menggalakkan . Menjelang tahun 1939 , pengeluaran padi telah meningkat sehingga menghasilkan lebihan jualan . Namun begitu, penghasilan yang banyak ini sekali lagi tergugat apabila Jepun masuk ke Tanah Melayu pada tahun 1941 . Masalah kekurangan beras berlaku ketika itu kerana penduduk Temerloh takut untuk keluar mengerjakan sawah mereka .

Apabila British kembali memerintah , ia telah cuba untuk memperbaiki keadaan hidup penduduk tempatan terutama dalam hal pengeluaran makanan . Oleh kerana itu , pada tahun 1947 , beberapa langkah seperti membina empangan taliair membersihkan longkang dan parit telah dijalankan .Di samping itu, kempen pengeluaran makanan juga telah diadakan di seluruh kawasan . Antara kawasan yang terlibat ialah Paya Teratai (di Mukim Lebak) , Paya Pulai dan Paya Besar .

Dalam bidang perikanan , tidak terdapat satu usaha penangkapan ikan secara besar-besaran kerana Temerloh tidak terletak di kawasan pantai . Sebaliknya , usaha penangkapan ikan dilakukan secara kecil-kecilan di Sungai Semantan dan Sungai Pahang .

Usaha penangkapan ikan dijalankan secara mengail, menajor dan menuba. Walau bagaimanapun, menangkap ikan secara menuba jarang dilakukan kerana ia adalah salah disisi undang-undang . Kesalahan menuba ini boleh menyebabkan orang yang melakukannya didakwa dan dipenjara . Bagi mengawal hal ini, Penghulu telah diarahkan supaya melarang anak buahnya menangkap ikan dengan cara ini .

Manakala dari sudut perniagaan , tidak dinafikan bahawa telah wujud berbagi jenis perniagaan seperti perniagaan barang-barang emas , kain baju , barang-barang makanan , getah dan keperluan harian tetapi pada masa tersebut , perniagaannya tidaklah sebesar seperti hari ini . Pada masa sebelum berlakunya banjir besar pada tahun 1926 , kawasan Bandar Temerloh yang menjadi tumpuan untuk urusan jual beli ialah di sepanjang Sungai Pahang iaitu dari kawasn Klinik Temerloh hingga ke tapak Pekan Sahari yang ada sekarang  . Oleh kerana kawasan tersebut sering 'ampuh' (ditenggelami air) , maka Bandar Temerloh telah dipindahkan ke atas sedikit daripada kawasan lama. Disitulah kawasan baru kegiatan jual beli dijalankan .

Menurut Haji Zakaria Hitam , banjir besar tahun 1926 banyak memusnahkan kedai-kedai di kawasan Bandar Temerloh dan oleh sebab itu kawasan Bandar Temerloh dipindahkan ke atas daripada tapak lama pada 1932 .

Bandar Temerloh yang baru ini dikatakan asalnya adalah kebun getah .

Back